Minggu, 01 Februari 2009

Sayyid Ja’far bin Sayyid Hasan bin Sayyid ‘Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul al-Barzanji

Antara kitab mawlid yang paling masyhur dan paling terkenal di rantau kita ini dan juga di seantero dunia ialah kitab mawlid karangan Sayyidisy Syaikh Ja’far al-Barzanji rahimahUllah. Kitab mawlid karangan beliau itu dikenali dengan berbagai nama antaranya “‘Iqdul Jawhar fi Mawlidin Nabiyyil Azhar“, tetapi gelaran yang paling masyhur ialah “Mawlid al-Barzanji“. Malangnya ada orang muda zaman kita ini yang tergamak memperlekeh dan merendah-rendah kesarjanaan Sayyidy Syaikh Ja’far al-Barzanji dan karya beliau tersebut. Mungkin penyakit ujub pada diri menyebabkan seseorang itu menjadi buta dalam menilai ketokohan ulama yang telah diterima umat dan dijadikan ikutan, manakala karyanya dibaca oleh ribuan dan jutaan umat dari dahulu sehingga kini. Bukan sahaja orang awam, para ulama umat ini turut membaca, meneliti, mentelaah dan mewiridkan karya Imam besar al-Barzanji ini. Tiada yang menyalahkannya, apatah lagi mensyirikkan dan mengkhurafatkannya.

Untuk peringatan hari ke-3 pemergian almarhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan ‘Abdullah rahimahUllah dan sebagai satu upaya menyebarkan ilmu beliau, kunukilkan tulisan beliau berhubung Sayyid Ja’far al-Barzanji dan karya mawlidnya. Mudah-mudahan kalian dapat membacanya dengan teliti dan penuh keinsafan, biar tahu di mana kedudukan kita dan di mana pula Sidi Ja’far berada. Tulisannya ini terkandung dalam buku beliau yang berjodol “Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua Di Dunia Melayu”. Pada halaman 69 - 71, beliau rahimahUllah menulis, antara lain:-

….. Karyanya yang terkenal ialah Maulid al-Barzanji atau Jawahir ‘Iqd atau ‘Iqd al-Jawahir dan nama yang lain ialah al-Burud yubaiyinul Murad. Kitab ini telah disyarah oleh ramai orang di antaranya ialah oleh Syeikh Nawawi al-Bantani yang diberi judul Madarijus Shu`ud ila Iktisa` al-Burud. Syarah yang lain pula diusahakan oleh Syeikh ‘Abdul Hamid bin Syeikh Muhammad ‘Ali Kudus yang diberi judul Maulidin Nabiyi s.a.w. ‘ala nasijil Barzanji. Kedua-duanya adalah ulama yang berasal dari Tanah Jawa, Indonesia. Kedua-dua syarah itu ditulis dalam Bahasa ‘Arab. Selain syarah, kitab Maulid al-Barzanji pula diterjemah ke dalam beberapa bahasa. Dalam Bahasa Melayu / Indonesia terdapat cukup banyak. Tidak perlu disebut lagi kerana telah disebutkan pada perbicaraan sebelum ini.

Apabila kita jejaki keseluruhan datuk-nenek Saiyid Ja’far al-Barzanji hingga ke atas adalah terdiri dari ulama-ulama besar yang berjasa sebagai pengarang, pendidik atau penyebar agama Islam yang suci dan benar, yang tiada diragui oleh sekian ramai ulama. Bahkan nasabnya sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w.

…….Saiyid Ja’far al-Barzanji penyusun Maulid al-Barzanji adalah seorang ulama Madinah dan beliau adalah seorang Mufti Mazhab Syafi`ie di Madinah al-Munawwarah………..

Ulama - ulama besar yang telah diakui oleh ulama sedunia Islam demikian ramai adalah tidak mungkin untuk ditolak dengan propaganda palsu dan tidak berasas oleh orang-orang tertentu, tetapi adalah sebaliknya tokoh-tokoh yang menyalah-nyalahkan ulama itulah mesti ditolak, fatwa dan pendapat mereka tidak dapat diterimapakai.

Begitulah pesanan almarhum Tuan Guru kita, harap ikhwah dapat fahami dan jadikan panduan dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh fitnah dan pancaroba. Kepada golongan serpihan umat yang tidak sejalan dengan umat kebanyakan, maka pesanku hanya satu. Jika kamu boleh menolak fatwa mufti dan ulama kami, maka kami pun boleh menolak fatwa mufti dan ulama kamu. Jika ulama kami tidak maksum, maka begitulah juga ulama kamu. Oleh itu berlapanglah dada, biarlah bumi ini aman tanpa sebarang kekecohan isu-isu sepele, biar kami aman beramal dengan pegangan kami dan kami akan biarkan kamu aman dengan pegangan kamu. TAPI kalau kamu berani berlaku biadap dengan para Pewaris Nabi yang telah diakui umat ini, kami tidak akan berdiam diri.

عطر اللهم قبره الكريم * بعرف شذي من صلاة و تسليم

اللهم صل و سلم و بارك عليه و على اله و اصحابه


Sayyid Ja’far bin Sayyid Hasan bin Sayyid ‘Abdul Karim bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Rasul al-Barzanji adalah seorang ulama besar keturunan Junjungan Nabi s.a.w. dari keluarga Saadah al-Barzanji yang masyhur berasal dari Barzanj di Iraq. Beliau dilahirkan di Kota Madinah al-Munawwarah pada tahun 1126H. Segala usul Sayyid Ja’far semuanya merupakan ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amal, keutamaan dan kesholehan. Habib Prof. Dr. Muhammad bin ‘Alwi bin ‘Abbas al-Maliki (jika ada orang berbangga-bangga dengan gelar Dr.nya dalam bidang hadits, maka aku nyatakan bahawa al-Habib Muhammad al-Maliki ini juga telah meraih gelar Dukturahnya dalam bidang hadits pada usianya 25 tahun dari Harvard dan Oxfordnya dunia Islam iaitu Universiti al-Azhar asy-Syarif, oleh itu jika kamu berbangga-bangga dengan kesarjanaan versi dukturah ini, maka simpanlah dulu Dr. kamu tu dalam poket) dalam “Haul Ihtifaal bi dzikra al-Mawlid an-Nabawi asy-Syarif” menulis pada halaman 99 :-

Al-’Allaamah al-Muhaddits al-Musnid as-Sayyid Ja’far bin Hasan bin ‘Abdul Karim al-Barzanji adalah MUFTI ASY-SYAFI`IYYAH di Kota Madinah al-Munawwarah. Telah berlaku perselisihan tentang tarikh kewafatannya, di mana sebahagiannya menyebut yang beliau meninggal pada tahun 1177H. Imam az-Zubaidi dalam “al-Mu’jam al-Mukhtash” menulis bahawa beliau wafat tahun1184H, di mana Imam az-Zubaidi pernah berjumpa dengan beliau dan menghadiri majlis pengajiannya di Masjid Nabawi yang mulia. Beliau adalah pengarang kitab mawlid yang masyhur dan terkenal dengan nama “Mawlid al-Barzanji“. Sebahagian ulama menyatakan bahawa nama karangannya tersebut sebagai “I’qdul Jawhar fi mawlid an-Nabiyyil Azhar“. Mawlid karangan beliau ini adalah di antara kitab mawlid yang paling tersohor dan paling luas tersebar ke pelosok negeri ‘Arab dan Islam, baik di Timur maupun di Barat. Bahkan ramai kalangan ‘Arab dan ‘Ajam yang menghafalnya dan mereka membacanya dalam perhimpunan-perhimpunan agama yang munasabah. Kandungannya merupakan khulaashah (ringkasan) sirah nabawiyyah yang meliputi kisah lahir baginda, perutusan baginda sebagai rasul, hijrah, akhlak, peperangan sehingga kewafatan baginda…………….

Kitab “Mawlid al-Barzanji” ini telah disyarahkan oleh al-’Allaamah al-Faqih asy-Syaikh Abu ‘Abdullah Muhammad bin Ahmad yang terkenal dengan panggilan Ba`ilisy yang wafat tahun 1299H dengan satu syarah yang memadai, cukup elok dan bermanfaat yang dinamakan “al-Qawl al-Munji ‘ala Mawlid al-Barzanji” yang telah banyak kali diulang cetaknya di Mesir.

Ikhwah lihat, bagaimana Habib Muhammad menyatakan bahawa Sayyid Ja’far adalah seorang ‘allaamah, seorang muhaddits lagi musnid yang menjadi sanad dan sandaran umat. Jadi bagaimana kita tergamak membuka mulut kita dan menggerakkan lidah kita yang tidak bertulang untuk mencemoh dan merendah-rendahkan pribadi seperti Sayyid Ja’far, Mufti Syafi`iyyah di Kota Madinah. Allahu … Allah.

Sebagaimana dinyatakan oleh Buya al-Maliki di atas, mawlid Sidi Ja’far al-Barzanji ini telah disyarahkan pula oleh para ulama kenamaan umat ini. Antara yang masyhur mensyarahkannya ialah Syaikh Muhammad bin Ahmad ‘Ilyisy al-Maaliki al-’Asy’ari asy-Syadzili al-Azhari yang mengarang kitab “al-Qawl al-Munji ‘ala Mawlid al-Barzanji“. Beliau ini adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif, bermazhab Maliki lagi Asy`ari dan menjalankan Thoriqah asy-Syadziliyyah. Beliau lahir pada tahun 1217H (1802M) dan wafat pada tahun 1299H (1882M). Beliau bukanlah calang-calang ulama pula, ketinggian ilmunya dapat dilihat dalam kitab-kitab karangannya yang bernilai tinggi, antaranya : “Hidaayatul Muriid li ‘Aqiidati Ahlit Tauhiid“, “Syarah al-’Aqaa-idul Kubra lis Sanusi“, “Haasyiah ‘ala Syarhish Shoghir lid-Dardiir“, “Minhul Jaliil ‘ala Mukhtashar Khaliil” dan “Hidaayatus Saalik ila Aqrabil Masaalik fi Furu`il Fiqhil Maaliki“.

Selain Syaikh Ba`ilisy, ulama kita kelahiran Banten, Pulau Jawa, yang terkenal sebagai ulama dan penulis yang produktif dengan banyak karangannya. Sayyidul ‘Ulama-il Hijaz, an-Nawawi ats-Tsani, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani al-Jawi turut menulis syarah yang lathifah bagi “Mawlid al-Barzanji” dan karangannya itu dinamakannya “Madaarijush Shu`uud ila Iktisaa-il Buruud“. Manakala, seorang keturunan Sayyid Ja’far al-Barzanji yang mempunyai nama yang sama dengan beliau, iaitu Sayyid Ja’far bin Sayyid Isma`il bin Sayyid Zainal ‘Abidin bin Sayyid Muhammad al-Hadi bin Sayyid Zain yang merupakan suami kepada satu-satunya anak Sayyid Ja’far al-Barzanji, telah juga menulis syarah bagi “Mawlid al-Barzanji” tersebut yang dinamakannya “al-Kawkabul Anwar ‘ala ‘Iqdil Jawhar fi Mawlidin Nabiyil Azhar“. Sayyid Ja’far ini juga adalah seorang ulama besar keluaran al-Azhar asy-Syarif. Beliau juga merupakan seorang Mufti Syafi`iyyah. Karangan-karangan beliau banyak, antaranya: “Syawaahidul Ghufraan ‘ala Jaliyal Ahzan fi Fadhaa-il Ramadhan“, “Mashaabiihul Ghurar ‘ala Jaliyal Kadar” dan “Taajul Ibtihaaj ‘ala Dhau-il Wahhaaj fi Israa` wal Mi’raaj“. Beliau juga telah menulis sebuah manaqib yang menceritakan perjalanan hidup dan ketinggian nendanya Sayyid Ja’far al-Barzanji dengan jodol “ar-Raudhul A’thar fi Manaqib as-Sayyid Ja’far“. Allahu … Allah, dunia Islam kaya dengan khazanah keilmuan. Luas melaut ilmu para ulama kita. Cuma kail kita yang panjang sejengkal tak mampu menduga kedalaman lautan tersebut… Allahu…Allah. Oleh itu, janganlah jadi seumpama “katak di bawah tempurung” atau dalam shighah Mr. Sammy - “tempurung atas katak”, hanya kenal sorang dua ulama terus menyerang dan menghukum orang lain yang tidak sefaham. Kepada yang merasakan Mufti Sidi Ja’far al-Barzanji hanya seorang lelaki seperti dirinya atau beranggapan dia mufti, aku pun mufti, eloklah cari kitab-kitab tersebut dan kaji pribadi dan sejarah hidup Sidi Ja’far al-Barzanji yang mawlid karangannya telah lumrah jadi bahan bacaan dan amalan umat ini. Lepas tu cari cermin tengok muka sendiri dan buat perbandingan.

Berbalik kepada Sidi Ja’far al-Barzanji, selain dipandang sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid Nabawi dan mengajar di dalam masjid yang mulia tersebut. Beliau terkenal bukan sahaja kerana ilmu, akhlak dan taqwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk hujan pada musim-musim kemarau. Diceritakan bahawa satu ketika di musim kemarau, sedang beliau sedang menyampaikan khutbah Jumaatnya, seseorang telah meminta beliau beristisqa` memohon hujan. Maka dalam khutbahnya itu beliau pun berdoa memohon hujan, dengan serta merta doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya sehingga seminggu, persis sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Junjungan Nabi s.a.w. dahulu. Menyaksikan peristiwa tersebut, maka sebahagian ulama pada zaman itu telah memuji beliau dengan bait-bait syair yang berbunyi:-

سقى الفروق بالعباس قدما * و نحن بجعفر غيثا سقينا
فذاك و سيلة لهم و هذا * وسيلتنا إمام العارفينا

Dahulu al-Faruuq dengan al-’Abbas beristisqa` memohon hujan
Dan kami dengan Ja’far pula beristisqa` memohon hujan
Maka yang demikian itu wasilah mereka kepada Tuhan
Dan ini wasilah kami seorang Imam yang ‘aarifin

Sidi Ja’far al-Barzanji wafat di Kota Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi`, sebelah bawah maqam nenda-nenda beliau dari kalangan anak-anak perempuan Junjungan Nabi s.a.w. Allahu … Allah. Bertuah sungguh Sayyid Ja’far. Karangannya membawa umat ingatkan Junjungan Nabi s.a.w., membawa umat kasihkan Junjungan Nabi s.a.w., membawa umat rindukan Junjungan Nabi s.a.w. Setiap kali karangannya dibaca, pasti sholawat dan salam dilantunkan buat Junjungan Nabi s.a.w. Juga umat tidak lupa mendoakan Sayyid Ja’far yang telah berjasa menyebarkan keharuman pribadi dan sirah kehidupan makhluk termulia keturunan Adnan. Allahu … Allah.

اللهم اغفر لناسج هذه البرود المحبرة المولدية
سيدنا جعفر من إلى البرزنج نسبته و منتماه
و حقق له الفوز بقربك و الرجاء و الأمنية
و اجعل مع المقربين مقيله و سكناه
و استرله عيبه و عجزه و حصره و عيه
و كاتبها و قارئها و من اصاخ إليه سمعه و اصغاه

Ya Allah ampunkan pengarang jalinan mawlid indah nyata
Sayyidina Ja’far kepada Barzanj ternisbah dirinya
Kejayaan berdamping denganMu hasilkan baginya
Juga kabul segala harapan dan cita-cita
Jadikanlah dia bersama muqarrabin berkediaman dalam syurga
Tutupkan segala keaiban dan kelemahannya
Segala kekurangan dan kekeliruannya
Seumpamanya Ya Allah harap dikurnia juga
Bagi penulis, pembaca serta pendengarnya

و صلى الله على سيدنا محمد و على اله و صحبه و سلم
و الحمد لله رب العالمين


Tidak ada komentar:

Posting Komentar