Minggu, 01 Februari 2009

BEBERAPA CONTOH AKHLAK RASULULLAH S.A.W

Amanah

Tidak diragukan lagi, contoh terbesar adalah memikul Risalah yang dipercayakan Allah kepadanya untuk didakwahkan. Allah menyuruhnya untuk melaksanakan tugas itu. Dan Rasulullah memang meyampaikan Risalah tersebut kepada manusia dengan metode terbaik. Namun baginda juga harusmenanggung risiko besar sebagai konsekuensi menempuh jalan itu.
Kalau Rasulullah saw mendapat harta rampasan perang, baginda akan menyuruh Bilal memanggil para tentera sebanyak tiga kali. Bilal akan segera melakukannya.

Kemudian mereka berkumpul dengam membawa pampasan perang untuk dibahagi sama rata. Setelah itu, datinglah seorang tentera yang hanya membawa sehelai tali dari rambut. Ia berkata:”Ya Rasulullah, inilah yang saya dapatkan dari harta pampasan perang.”

“Apakah kamu mendengar panggilan Bilal sebanyak tiga kali? Tanya Rasulullah saw. ‘Ya”jawabnya. “Apa yang menghalangimu dating kepadaku bersama barang itu?’ Tanya Rasulullah saw. Lelaki itu mengemukakan alasannya. “Saya tidak menerima alasanmu, hingga kamu bersaksi dihadapanku kelakdi hari kiamat” kata Rasulullah saw. (Musnad Ahmad,jilid 11,hlm,201)



Sifat Pemaaf/Kemampuan Membalas Rasulullah SAW

Tidak lekas marah, pemaaf (walaupun dicaci, ditohmah, dimaki dll)

• Adil dalam pembahagian harta rampasan

• Tidak memarahi orang yang
cuba membunuhnya malah menasihati pula. Cubaan pembunuhan ini berlaku dalam pelbagai cara, antaranya tikam-curi semasa perang, menghempap batu semasa baginda berjalan dan diberikan racun dalam daging kambing oleh perempuan Yahudi. (Baginda melarang sahabatnya membunuh perempuan berkenaan) Pernah disihir oleh lelaki Yahudi dan atas bantuan Jibril a.s. , sihir berjaya dipulihkan dari sumur Zarwan. Tidak pernah baginda mengungkit kembali perkara berkenaan walaupun di hadapan Yahudi berkenaan.

• Pernah baginda dihunuskan pedang dan ditanya "Siapakah yang mencegah engkau dariku?" dan baginda menjawab "Allah". Maka jatuhlah pedang tersebut dan baginda mengambilnya dan bersabda "Siapakah yang mencegah engkau dariku?" Lelaki itu menjawab "Adalah engkau hendaknya sebaik-baik orang yang mengambil kebajikan" Baginda menjawab "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan Melainkan Allah dan aku adalah Rasulullah" Lelaki itu menjawab "Tidak, hanya aku tidak akan memerangimu. Aku tidak akan bersamamu dan aku tidak akan bersama kaum yang memerangimu"

Lantas Baginda melepaskan lelaki berkenaan dan mendekati sahabat-sahabatnya dan bersabda : "Aku datang kepada kamu dari orang yang terbaik antara manusia"



Kemurahan Hati Rasulullah S.A.W

Sayyidina Ali r.a. berkata : "Adalah Nabi SAW manusia yang bermurah tangan, manusia yang berlapang dada, manusia yang sangat benar pembicaraan, manusia yang sangat menepati janji, manusia yang teramat lemah-lembut kelakuan dan manusia yang sangat memuliakan kekeluargaan. Barangsiapa melihat Nabi SAW dengan tiba-tiba, nescaya takut kepadanya. Dan barangsiapa bercampur-baur dengan Nabi SAW dengan mengenalnya, nescaya mencintainya. Orang yang menyifatkan Nabi SAW berkata : "Tidak pernah aku melihat sebelumnnya dan sesudahnya orang seperti Nabi SAW"

Seorang lelaki telah meminta sesuatu dari baginda dan diberikan seekor kambing dan lelaki itu kemudiannya mengajak semua rakan-rakan dari kaumnya memeluk Islam.
Baginda tidak pernah berkata "tidak" apabila diminta sesuatu. Baginda tidak takut kepada kemiskinan.

Baginda diberikan 90,000 dirham dan dibahagi-bahagikannya sehingga habis.
Pernah baginda diminta sesuatu dan baginda tiada apa-apa tetapi demi memenuhi kehendak si peminta, Baginda SAW menyuruhnya membeli secara berhutang atas nama baginda dan baginda berjanji untuk melunaskannya.



Keberanian Rasulullah S.A.W

Sayyidina Ali r.a. berkata "Sesungguhnya engkau melihat aku pada hari Perang Badar. Kami berlindung dengan Nabi SAW dan baginda yang paling terdekat kepada musuh dari kami. Dan baginda pada hari itu di antara manusia yang sangat perkasa"

‘Imran bin Husain berkata : "Tiada Rasulullah SAW menemui suatu kumpulan tentera, melainkan beliaulah orang yang pertama memukulnya"

Para sahabat berkata bahawa Nabi SAW sangat kuat pukulannya. Tatkala baginda dikepung oleh kamu musyrik, baginda turun dari kudanya lantas berkata "Aku ini Nabi, tidak dusta. Aku ini Putera Abdul Mutalib"

Maka tiada seorangpun yang dilihat pada hari itu yang lebih berani dari Nabi SAW.



Kerendahan diri Rasulullah SAW

Baginda SAW tidak pernah menghampakan jemputan sesiapa jua samada orang sakit, menghantar jenazah atau makan bersama-sama dengan hamba/sahaya. Baginda berpakaian ringkas. Baginda membenci perbuatan orang berdiri hormat apabila baginda lalu.
Baginda suka memberikan salam kepada anak-anak kecil/muda. Seorang lelaki yang gementar melihat wajah baginda terus ditenteramkan oleh baginda dengan bersabda "Permudahkan (urusan) mu, aku bukannya raja. Aku hanya putera, seorang perempuan Quraisy, yang memakan daging kering"

Baginda sentiasa duduk bersama-sama dengan sahabatnya dan tidak pernah membeza-bezakan sesiapapun di antara sahabatnya walaupun baru dikenalinya. Baginda SAW begitu gemar berbual-bual mengenai pelbagai sabjek dari perkara-perkara bersabit akhirat hinggalah dunia. Kadangkala baginda hanya tersenyum apabila para sahabatnya membaca syair atau bergurau tetapi segera melarang jika berlaku perkara-perkara haram.

Adab makan baginda juga jelas menunjukkan rasa kerendahan dirinya. Tidak suka bersandar walaupun pernah disuruh Sayyidina Ali r.a. dan tidak pernah bermeja ketika makan – makan cara hamba/sahaya.



Rasulullah saw apabila di luar

Kata Hassan selanjutnya, "Kemudian aku tanyakan kepada ayahku bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW apabila berada di luar. Maka jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa menjaga lidahnya kecuali hanya untuk berbicara seperlunya, apabila berbicara sentiasa berbicara dengan halus (lemah-lembut) dan tidak pernah berbicara dengan kasar terhadap mereka, dan sentiasa memuliakan terhadap orang yang terpandang (berkedudukan) dan memperingatkan orang jangan sampai ada yang bertindak menyinggung perasaannya dan perbuatannya. Kebiasaan Baginda selalu menanyakan keadaan sahabat-sahabatnya, dan Baginda selalu memuji segala sesuatu yang baik dan membenci segala sesuatu yang buruk. Segala urusannya itu dibuatnya sebaik mungkin. Tidak pernah Baginda lalai atau malas, demi menjaga jangan sampai mereka melalaikan dan meremehkan. Segala sesuatu dipersiapkannya terlebih dahulu, dan tidak pernah akan meremehkan (mengecilkan) kebenaran. Orang yang paling terpandang menurut Rasulullah SAW ialah mereka yang paling baik kelakuannya, orang yang paling mulia ialah mereka yang paling banyak bernasihat (memberikan petunjuk) kepada orang lain, dan orang yang paling tinggi sekali kedudukannya ialah orang yang selalu ramah-tamah dan yang paling banyak menolong orang lain.".



Rasulullah saw di tengah para sahabat

Kata Hassan, "Maka aku tanyakan tentang keadaannya apabila Baginda sedang berada di tengah-tengah para sahabatnya. Jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa periang (gembira), budi pekertinya baik, sentiasa ramah-tamah, tidak kasar mahupun bengis terhadap seesorang, tidak suka berteriak-teriak, tidak suka perbuatan yang keji, tidak suka mencaci, dan tidak suka bergurau (olok-olokan), selalu melupakan apa yang tidak disukainya, dan tidak pernah menolak permintaan seseorang yang meminta. Baginda meninggalkan tiga macam perbuatan : Baginda tidak mahu mencela seseorang atau menjelekkannya, dan tidak pernah mencari-cari kesalahan seseorang, dan tidak akan berbicara kecuali yang baik saja (yang berfaedah). Namun apabila Baginda sedang berbicara maka pembicaraannya itu akan membuat orang yang ada di sisinya menjadi tunduk, seolah-olah di atas kepala mereka itu ada burung yang hinggap. Apabila Baginda sedang berbicara maka yang lain diam mendengarkan, namun apabila diam maka yang lain berbicara, tidak ada yang berani di majlisnya untuk merosakkan (memutuskan) pembicaraan Baginda. Baginda sentiasa ikut tersenyum apabila sahabatnya tersenyum (tertawa), dan ikut juga takjub (hairan) apabila mereka itu merasa takjub pada sesuatu, dan Baginda sentiasa bersabar apabila menghadapi seorang baru (asing) yang atau dalam permintaannya sebagaimana sering terjadi. Baginda bersabda, "Apabila kamu melihat ada orang yang berhajat maka tolonglah orang itu, dan Baginda tidak mahu menerima pujian orang lain kecuali dengan sepantasnya, dan Baginda tidak pernah memotong pembicaraan orang lain sampai orang itu sendiri yang berhenti dan berdiri meninggalkannya."



Tawaddhu’

Tawaddhu’ Rasulullah saw hanya menambah kemuliaan serta kecintaan beliau di mata kaum muslimin. Sifat tawaddhu’ Rasulullah s.a.w nampak dalam perbuatan dan sikap baginda secara keseluruhan.

1. Abu Sa’id al-Khudri mengatakan: “Rasulullah s.a.w memberi makan dan memandikan unta, menyapu rumah, memerah susu kambing, menjahit sepatu, menampal baju, makan bersama pelayan, menggiling biji-bijian, membeli sesuatu dari pasar kemudian dibawa sendiri ke rumahnya. Menyalami tangan orang yang kaya, miskin, besar dan kecil. Mengucapkan salam pertama kali kepada orang yang dilihatnya, baik tua atau pun muda, hitam ataupun putih, budak atau merdeka.

2. Rasulullah menunggangi apa sahaja kenderaan yang boleh ditunggangi seperti kuda, unta, baghal atau himar. Baginda pernah juga berjalan tanpa memakai alas kaki.



Musyawwarah

Rasulullah bermusyawwarah dengan para sahabat mengenai semua masalah, kecuali mengenai wahyu.
Baginda menerima pendapat para sahabat dan tidak menganggap dirinya sebagai yang paling benar. Saiyidatina Aisyah r.a berkata: “Aku tidak melihat seseorang yang lebih banyak bermusyawwarah selain daripada Rasulullah s.a.w.”



Dermawan

Sifat dermawan Rasulullah s.a.w memang tidak dapat ditandingi.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, ia berkata, “Rasulullah s.a.w adalah orang yang paling dermawan. Lebih-lebih lagi pada waktu Ramadhan ketika bertemu dengan Jibril. Pada setiap malam Jibril menemui baginda untuk mengajarkan al-Quran. Jibril berkata “Bagi Rasulullah s.a.w kedermawanan lebih baik daripada angin yang sedang berhembus.”

Al-Thabrani meriwayatkan dari al-Rabi binti Ma’wadz bin Afra’ r.a, ia berkata, “Aku diutus oleh Ma’wadz bin Afra’ membawa setakar kurma yang di sampingnya diberi timun muda untuk diberikan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda sangat menyukai timun.
Pada waktu itu tangan baginda penuh dengan perhiasan Bahrain. Baginda memberi kepadaku perhiasan itu.”



Layanan Tanpa Mengira Darjat Keturunan

Mu’adz berkata, “Suatu kali aku pernah menyertai Rasulullah s.a.w naik di atas himar yang dinamakan ufair. Tiba-tiba ada seorang lelaki berjalan mendatanginya. Rasulullah s.a.w menyuruh orang tersebut naik manakala baginda berjalan di belakang himarnya. Baginda berkata lagi, “Kamu lebih berhak ke atas bahagian ternakmu daripada aku, kecuali kamu menjadikannya untukku.” Orang itu menjawab, “Aku menjadikannya untukmu.”
Jabir berkata, “Dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w pernah tertinggal di belakang untuk melihat orang yang lemah agar berhimpun dengan teman-temannya yang lain. Baginda menyertai dan memanggil mereka.”



Perlakuan Terhadap Isteri

Jarang sekali para isteri baginda merasa cemburu sebagaimana wanita-wanita lain. Namun ketika rasa cemburu ini mulai menampakkan ketidakwajaran, maka baginda segera meluruskannya dengan didikan yang baik.

Aisyah r.a berkata, “Aku belum pernah melihat orang membuat makanan seperti yang dibuat oleh Shafiyah. Ketika ia sedang berada di rumahku, dia membuat makanan untuk Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba badanku bergetar, sehingga menggigil kerana dibakar rasa cemburu. Mangkuk Shafiyah aku pecahkan, tetapi kemudian aku merasa menyesal. Segera ku katakan kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah s.a.w, apakah kafarah perbuatanku tadi?”
Baginda menjawab, “Mangkuk sama dengan mangkuk, makanan sama dengan makanan. (Riwayat Abu Daud dan Nasa’i).

Baginda selalu memujuk dan menghiburkan hati para isterinya sehingga menjadi jernih tanpa suatu bebanan. Shafiyah bt Huyai bin Khathab berkata, “Sesuatu yang membuatkan aku marah kepada Rasulullah s.a.w adalah terbunuhnya ayah dan suamiku. Namun baginda terus memujuk dan memberi alasan. Hal itu baginda lakukan beberapa kali, sehinggalah semua bebanan perasaan hilang dari diriku.” (Riwayat al-Haithasmy).



Cara Teguran Rasulullah yang Berhikmah

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas, ia berkata, “Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w di dalam masjid, datang seseorang dari kampung. Ia berdiri dan kencing di dalam masjid. Para sahabat berkata dengan marah.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidak perlu kamu memotong agar dia berhenti kencing. Biarkan saja dia!”

Maka mereka membiarkan sampai ia selesai kencing. Setelah itu baginda memanggilnya dan bersabda kepada orang dusun itu, “Sesungguhnya masjid-masjid seperti ini tidak layak untuk membuang kencing dan kotoran.
Masjid adalah tempat untuk berzikir kepada Allah, mendirikan solat dan membaca al-Quran.” Sesudah itu, baginda menyuruh seseorang mengambil air dengan gayung lalu disiramkannya tempat tersebut.

Kita sajikan contoh seperti ini agar kita tahu seberapa jauh tahap kesedaran berbudaya si kalangan orang arab pada ketika itu. Dalam menghadapi masalah sepeti yang dinyatakan tadi, Rasulullah s.a.w menempatkan dirinya sebagai seorang pendidik. Baginda tidak memotong perbuatan seseorang sebelum ia menyelesaikannya, meskipun pekerjaan itu kurang terpuji.



Merendah Diri di Kalangan Orang Ramai

Allah pernah menegur Rasulullah saw ketika baginda didatangi seorang mukmin, bertepatan dengan waktu baginda berdakwah kepada salah seorang pembesar musyrikin dan baginda tidak bersikap ramah dengan orang mukmin tadi.

Abu Nu’aim meriwayatkan dari Anas r.a yang berkata, “Bahawa Rasulullah s.a.w adalah termasuk orang yang lemah-lembut. Demi Allah, baginda tidak menolak ketika hamba lelaki mahupun perempuan atau anak kecil yang memberi air, meskipun pada pagi hari yang sangat dingin, baginda tetap membasuh muka dan kedua lengannya. Bila ada yang bertanya, baginda mendekatkan telinganya. Baginda tidak akan menghentikan sebelum orang yang bertanya habis bertanya. Tidak seorang pun menerima huluran tangan baginda kecuali baginda yang menghulurkannya terlebih dahulu untuk bersalam dan baginda tidak akan melepaskannya sebelum orang itu melepaskan tangannya terlebih dahulu.”

Dari Anas r.a ia berkata, “Bahawa apabila Rasulullah s.a.w berjabat tangan atau ada orang mengajaknya berjabat tangan, maka baginda tidak melepaskan tangannya terlebih dahulu. Apabila berhadapan wajah, baginda tidak mengalihkan wajahnya sehinggalah orang yang berhadapan dengan baginda mengalihkannya terlebih dahulu. Dan bahagian hadapan lututnya tidak akan kelihatan ketika duduk berhadapan dengan seseorang.” (Dirawayatkan oleh Tirmidzi dan Ibnu Majah)



Kelembutan Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w memiliki sifat kelembutan sebagaimana sifat-sifat yang lain secara sempurna. Baginda marah demi kebenaran apabila hal-hal yang haram dilanggar. Kemarahannya bukan tidak berdasarkan atas suatu hal. Kemarahannya dimaksudkan untuk membanteras kebatilan sehingga lenyap.

Selain itu, baginda sebagai contoh yang lemah lembut. Baik terhadap orang bodoh yang tidak tahu etika berbicara mahupun kepada orang yang hendak mencelakai baginda tetapi masih terbuka kemungkinan untuk diperbaiki. Kita akan mendapati kelembutan baginda sangat mempesona melebihi batas yang digambarkan manusia.
Terutama bagi kelembutan ini diiringi dengan kemampuan untuk berbuat tegas dan keras.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar