Minggu, 01 Februari 2009

Hukum Mengkafirkan Golongan Al Asya’irah

Tanya :


Terdapat golongan yang mendakwa ‘berilmu mengenai Al Quran dan Hadith’, bangun mengkafirkan satu kumpulan daripada umat Islam yang dikenali sebagai : Al Asya’irah. Apakah hukum mereka yang mengkafirkan mereka ini dan apakah peranan yang telah dimainkan oleh kumpulan al Asya’irah ini dalam berkhidmat untuk umat Islam?


Jawaban :

Al-Asya’irah ialah para pengikut Imam Abu Hasan al Asya’ari yang mempunyai jasa besar dalam membersihkan aqidah ahli Sunnah wal jama’ah daripada kekeruhan yang dicetuskan oleh golongan Muktazilah. Kebanyakan pendokong dan ulama-ulama ulung umat ini adalah golongan asya’irah ini. Sedangkan golongan yang mempertikaikan mereka ini tidak pun mencapai separas buku lali mereka dari segi ilmu, warak dan takwa.

Di antara ulama Asya’irah ialah
:

Imam Al Haramain, Al Ghazali, Ibnu Hajar al Asqalani, Fakhruddin ar Razi dan lain-lain. (Sila rujuk juga ulamak asya’irah di : http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/200

Apakah dosa yang telah mereka lakukan? Adakah kerana mereka bertungkus lumus untuk membuat penolakan ke atas kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan Musyabbihah berhubung dengan Zat ALlah? Golongan Musyabbihah ini cuba untuk menetapkan bahawa ALlah Subahanahu wa ta’ala mempunyai jisim melalui ayat mutasyabihat dan hadith-hadith yang menyatakan secara zahirnya bahawa ALlah mempunyai tangan, mata, siku, jari-jari dan sebagainya.

Lalu Ulama Asya’irah bangun membuat penolakan ke atas kekeliruan mereka itu dengan membawa ayat-ayat dan hadith-hadith tadi kepada makna majaz, kerana golongan musyabbihah ini tidak menerima prinsip ‘taswidh’ (penyerahan maknanya kepada ALlah), maka hujah Musyabbihah ini tidak dapat ditolak melainkan dengan menggunakan kaedah ‘takwil’. Walaupun begitu, mereka (Asya’irah) tetap berpendapat, ‘At tafwidh’ dan tidak mendalami untuk mengetahui maksud sebenarnya adalah lebih selamat bagi aqidah.

Syubhat (kesamaran) yang digunakan oleh golongan yang mengkafirkan ulama’ Asya’irah ini ialah dengan menuduh golongan tadi (Asya’irah) menolak sebahagian sifat ALlah kerana golongan tadi menganggap bahawa tangan, kaki, mata adalah sifat-sifat bagi ALlah sepertimana qudrat, iradat dan ilmu. Menurut mereka, sebagaimana ALlah ta’ala mempunyai qudrat yang bukannya seperti qudrat kita, ilmu yang bukannya seperti ilmu kita, maka begitu juga Dia mempunyai tangan tetapi bukannya tangan kita, mata bukannya seperti kita.

Sedangkan tidak sedikitpun tersembunyi bahawa lafaz tangan, mata dan jari-jari adalah nama-nama zat dan bukannya nama-nama sifat. Sekiranya kita menyebut ‘tangan’, maka akan tergambar di dalam benak fikiran kita tangan yang berjasad (mempunyai bentuk). Tetapi sekiranya kita menyebut ‘qudrah’ (berkuasa), tidaklah tergambar ke fikiran kita qudrah yang berjasad (yang boleh dirupakan dengan bentuk). Jadi qiyas yang digunakan oleh mereka gunakan itu adalah qias yang tidak tepat.

Oleh itu, melemparkan kejian ke atas ulama Asya’irah yang mentakwil ketika berhadapan dengan golongan Musyabbihah, bererti telah mencabul kemuliaan mereka dan melakukan kezaliman ke atas mereka dan menolak jasa yang mereka curahkan untuk menjaga aqidah. Apatah lagi sekiranya mereka ini dikafirkan. Mereka yang mengkafirkan golongan Asya’irah ini akan digolongkan ke dalam mereka yang dimaksudkan oleh hadith RasuluLLah yang bermaksud :

“Sekiranya seorang lelaki memanggil kepada saudaranya seIslam, “wahai kafir”, maka kata-kata itu akan terkena kepada salah seorang daripada keduanya. Sekiranya benar seperti yang dikatakan, maka dia selamat. Jika tidak tepat, maka tuduhan itu akan kembali kepadanya. (Muttafaq ‘Alaih)

Dan hadith :

“Sesiapa yang memanggil seorang lelaki dengan lafaz kekufuran atau memanggil, “Wahai musuh ALLah,” sedangkan yang dituduh itu bukanlah seperti yang dikatakan, maka tuduhan itu kembali kepada penuduh,” (Muttafaq ‘Alaih)

Perumpamaan mereka yang mengkafirkan ulama ‘Asya’irah atau Imam Abu Hasan Al Asy’ari sendiri bagaikan seorang pelatih baru yang ditempatkan di hospital untuk belajar dengan seorang doktor pakar yang mempunyai sijil yang tertinggi, sedangkan pelajar yang baru tadi sekadar membaca atau belajar cara membalut luka. Kemudian selepas belajar cara membalut luka itu, dia bangun mempertikaikan doktor pakar tadi dan melemparkan tuduhan doktor tadi tersilap dan jahil dan meragukan orang ramai pada maklumat yang dimiliki oleh doktor pakar tadi.

Sumber Ambilan : Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, Salah Faham Terhadap Bid’ah, al Bid’ah fi al mafhum al islami ad daqiq, Darul Nu’man, 2002, Kuala Lumpur

Tidak ada komentar:

Posting Komentar