Minggu, 01 Februari 2009

Persoalan Tentang Kenduri Arwah

Persoalan Tentang Kenduri Arwah

Komen penulis tentang amalan kenduri arwah sebagai sesuatu yang bid’ah berdasarkan dakwaannya yang bersumberkan daripada Sharh al-Muhazzab oleh Imam Nawawi. Terjemahan beliau berbunyi begini: “Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan dari Nabi s.a.w. sedikitpun. Ia adalah bi’dah yang tidak disukai.”

Ulasan:

Mari lihat teks asal yang sepenuhnya ditulis oleh Imam Syairazi dalam al-Muhazzab dan syarahnya dalam al-Majmu’ oleh Imam Nawawi.
قال المصنف رحمه الله تعالى:
ويستحب لأقرباء الميت وجيرانه أن يصلحوا لأهل الميت طعاما لما روي أنه: ((لما قتل جعفر بن أبي طالب رضي الله عنه قال النبي صلى الله عليه وسلم: اصنعوا لآل جعفر طعاما، فإنه قد جاءه أمر يشغلهم عنه)).
Maksudnya:
“Dan disunatkan bagi kerabat si mati dan jirannya untuk melakukan kebaikan kepada ahli keluarga si mati dengan menyediakan makanan sebagaimana yang diriwayatkan: ((Bahawasanya ketika terbunuh Ja’far Bin Abi Thalib, Nabi s.a.w. bersabda: “Buatlah bagi keluarga Ja’far it makanan, maka sesungguhnya telah datang kepada mereka suatu perkara yang menyibukkan mereka)).

Dinyatakan di dalam Syarh al-Muhazzab:

واتفقت نصوص الشافعي في الأم والمختصر والأصحاب على أنه يستحب لأقرباء الميت وجيرانه أن يعملوا طعاما لأهل الميت
Maksudnya:
Telah sepakat nas-nas Imam Syafi’e di dalam al-Umm, Mukhtasar dan Ashab bahawa sunat bagi kaum kerabat si mati dan jirannya untuk menyediakan makanan bagi ahli si mati..”

Dan di dalam al-Majmu’ juga terdapat sepertimana yang ditulis oleh mereka yang berbunyi begini:
وأما إصلاح أهل الميت طعاما وجمع الناس عليه فلم ينقل فيه شيء، وهو بدعة غير مستحبة.
Maksudnya: Dan adapun menyediakan makanan oleh ahli si mati dan menghimpunkan orang ramai adalah tidak diriwayatkan dari Nabi s.a.w. sedikitpun, ia adalah bid’ah yang tidak mustahabbah (disunatkan).

Jawapan kami:

Dalam pernyataan di atas, bid’ah yang tidak disunatkan itu ialah amalan mengumpul orang ramai dan memberi makan kepada mereka. Sememangnya ini perkara yang menyusahkan keluarga si mati.

Adapun perkumpulan orang ramai untuk membaca tahlil, takbir, tasbih dan ayat-ayat al-Quran untuk dihadiahkan kepada si mati tidak disebut pengharamannya. Bahkan perkumpulan untuk berzikir dan membaca al-Quran adalah satu perkara yang sangat dianjurkan dan disokong oleh dalil-dalil umum yang lain.

Pemberian makanan (bukan dari harta warisan si mati) oleh keluarga si mati kepada orang ramai dengan niat bersedekah (dan pahalanya disedekahkan kepada si mati) juga disokong oleh dalil-dalil yang lain.

Maka jelaslah, maksud perkumpulan yang tidak disukai itu adalah dengan tujuan mengumpulkan orang ramai bagi menzahirkan ratapan kepada si mati. Ini dapat dilihat dengan jelas dari ayat yang seterusnya oleh Imam Nawawi di dalam Syarh al-Majmu’ yang berbunyi:

ويستدل بهذا بحديث جرير بن عبد الله رضي الله عنه قال ((كنا نعد الاجتماع إلى أهل الميت وصنيعة الطعام بعد دفنه من النياحة)) رواه أحمد بن حنبل وابن ماجه بإسناد صحيح.

Dalam praktis hari ini, sememangnya anjuran Rasulullah s.a.w. ini dilakukan oleh pihak kerabat dan jiran-jiran dalam bentuk yang berlainan seperti sumbangan kewangan dan penyediaan makanan secara kerjasama di rumah ahli si mati.

Hakikatnya banyak perkara yang berubah dengan perkembangan cara hidup umat Islam, sebagai contoh, para ulama’ terdahulu tidak dibayar upah mereka oleh pihak kerajaan, namun pada hari ini, pendapatan para ustaz kita disediakan oleh pihak kerajaan. Adakah itu sesuatu yang salah? Bukankah di sana ada satu kaedah usuliyyah yang mengakui ‘perubahan hukum dengan perubahan masa dan tempat’ (تغير الأحكام بتغير الأزمان).

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang mengamalkan amalan ini, ada di sana dalil-dalil yang mengharuskan amalan ini. Di antaranya:

1. Ahmad Ibn Muni’ mengeluarkan di dalam Musnadnya daripada al-Ahnaf Bin Qais, berkata: Apabila Sayyidina Umar r.a. telah ditikam beliau memerintahkan Suhaib untuk mengerjakan sembahyang dengan orang ramai selama tiga hari dan beliau meyuruh agar disediakan kepada orang ramai makanan. Isnadnya adalah baik. (Kitab al-Mathalib al-‘Aliyah oleh Ibnu Hajar al-Asqalani Juzu’:1 Ms: 199 No. Hadis: 709).

2. Imam Ahmad mengeluarkan dalam Bab Zuhud daripada Thawus, berkata: (Sesungguhnya orang yang mati itu diuji di dalam kubur selama tujuh hari dan mereka menyukai sekiranya diberikan makanan bagi pihak mereka pada hari-hari tersebut). Isnadnya adalah kuat. (Kitab al-Mathalib al-‘Aliyah oleh Ibnu Hajar al-Asqalani Juzu’:1 Ms: 199 No. Hadis: 710).

http://al-subki.blogspot.com/

Tidak ada komentar:

Posting Komentar